Followers

Monday, February 21, 2011

:: UBAT SEGALA PENYAKIT ::

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Hasan Al-Bashri seorang ulama’ terkemuka yang berasal dari Bashrah, Iraq menyaksikan seorang pemuda datang kepada seorang doktor yang menanyakan perkara berikut :

Wahai doktor, apakah tuan memiliki resepi atau ubat mujarab yang boleh menghapuskan dosa-dosa dan menyembuhkan penyakit hati?

Doktor itu menjawab : Ya!

Pemuda itu berkata lagi : Berikan pada saya resepi mujarab itu!

Doktor berkata : "Ambillah sepuluh bahan pelebur dosa itu :

SEPULUH BAHAN PELEBUR DOSA

PERTAMA :

Ambillah akar pohon rasa ‘fakir’ dan berhajat kepada Allah bersama dengan akar kerendahan hati yang tulus dan ikhlas kepada Allah.

KEDUA :

Jadikan ‘taubat’ sebagai campurannya.

KETIGA :

Lalu masukkan ia dalam wadah ‘ridha’ atas semua ketentuan dan takdir Allah.

KEEMPAT :

Campurkan dengan campuran ‘qana'ah’ rasa puas dengan apa yang telah Allah berikan kepada kita.

KELIMA :

Masukkan dalam kuali ‘takwa’.

KEENAM :

Tuangkan ke dalamnya air ‘rasa malu’.

KETUJUH :

Lalu didihkanlah dengan api ‘cinta’.

KELAPAN :

Kemudian masukkan dalam adunan ‘syukur’.

KESEMBILAN :

Serta keringkan dengan kipasan ‘harap’.

KESEPULUH :

Lalu akhirnya minumlah dengan sendok ‘pujian’.

Jika engkau mampu melakukannya pastilah engkau mampu mencegah penyakit dan berbagai ujian samada di dunia mahupun akhirat" jelas doktor itu.

APABILA HILANG RASA FAKIR

Ramai orang yang melakukan dosa dan kesalahan terhadap Allah kerana dia merasa cukup dengan kemampuan dirinya dan seakan-akan tidak lagi memerlukan (rasa fakir) kepada sesiapapun, termasuk pada Yang Maha Kaya.

Dia beranggapan bahwa dirinya mampu melakukan semua perkara dengan :

a. Kekuatannya.

b. Kemampuannya.

c. Potensi dirinya.

d. Tenaga dirinya.

Dia merasa bahwa semua yang dia dapatkan adalah hasil dari :

1. Kekuatan fikirannya.

2. Kemampuan ilmunya.

3. Kejernihan pengiraannya.

4. Kematangan perhitungannya.

Inilah yang berlaku kepada Qarun yang angkuh dengan harta yang dimilikinya yang kemudiannya Allah turunkan azab kepadanya dengan ditelankannya dia oleh bumi yang tidak lagi suka pada :

a. Kecongkakannya.

b. Kesombongannya.

c. Keangkuhannya.

yang dipamerkannya sehingga membuatkan bumi merasa marah.

APABILA HILANG RASA RIDHA

Sumber dosa lainnya adalah kerana orang itu ‘tidak ridha’ dengan apa yang Allah tetapkan pada dirinya.

Sering kali dari bibirnya keluar keluhan dan bahkan kritikan kepada Allah kenapa Allah tidak memberikan yang "terbaik" :

1. Menurut pandangannya.
2. Menurut persepsinya.
3. Menurut pemikirannya.

Dia menyangka bahwa apa yang dia alami ketika ini :

1. Tidaklah sesuai bagi dirinya.
2. Tidak patut untuk dirinya.
3. Tidak layak untuk diterima.

Dia seakan-akan lebih tahu dari Allah Yang Maha Tahu yang mengetahui dengan terperinci semua perkara samada yang baik mahupun yang buruk bagi hambaNya.

Inilah yang berlaku kepada Qabil tatkala menuntut ayahnya agar dia dikahwinkan dengan adik kembarnya padahal Allah swt telah menentukan keputusan yang lain untuknya.

Lambat kembali kepada Allah merupakan penyebab lain dari tidak terhapusnya dosa-dosa yang kita lakukan.

BERTAUBATLAH!

Berlaku mendapan dosa kerana seringkali kita menunda ‘taubat’ yang sepatutnya kita lakukan dengan cepat.

Padahal Allah swt memerintahkan kita untuk segera merapatkan diri kepada Allah setelah beberapa lama kita telah menjauhinya.

Getarkanlah hati kita semua dengan kesesalan di atas semua kesalahan yang kita lakukan.

Mereka seakan-akan tidak tahu bahwa Allah swt sentiasa menerima taubat hambaNya dan Allah sangat senang dengan taubat mereka.

Ini sebagaimana firman Allah swt :

“Tidakkah mereka mengetahui, bahwasanya Allah menerima taubat dari hamba-hambaNya dan menerima sedekah, dan bahwasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?” (QS At-Taubah : 104)

APABILA HILANG RASA SYUKUR

Rasa tidak puas dengan apa yang Allah berikan pada kita merupakan penyakit kronik yang melahirkan :

1. Buruk sangka kepada Allah.

2. Menyangkal kehendak Allah.

3. Menyalahkan Allah.

Rasa tidak puas dengan kurniaan Allah akan mengecilkan rasa ‘syukur’ kita kepadaNya dan bahkan satu ketika akan memadamkannya.

APABILA HILANG RASA QANA’AH

Lenyapnya rasa ‘qana'ah’ di atas segala kurniaanNya akan membuahkan ketamakan dan ketamakan akan melahirkan kezaliman-kezaliman manakala dari kezaliman akan memunculkan kerosakan-kerosakan yang akan menghancurkan susunan kehidupan.

SEMARAKKAN RASA TAKWA

Jika dalam diri kita telah ada rasa kefakiran, rasa ridha dan qana'ah dan taubat maka semangat ‘takwa’ kepada Allah hendaknya kita pupuk terus menerus dan kita bina dengan saksama.

Ini adalah kerana ketakwaan itu laksana sebuah tanaman yang jika dibina dengan sebaik-baiknya maka dia akan tumbuh subur dan indah dan jika kita biarkan maka ketakwaan itu akan segera layu dan lesu.

Ketakwaan boleh kita sirami dengan dengan :

a. Rasa takut kepada Allah.

b. Mengamalkan nilai-nilai Al-Qur’an.

c. Puas dengan apa yang ada.

d. Mempersiapkan diri sepenuhnya untuk perjalanan akhir kita iaitu kematian.

Jadikan ‘takwa’ terus menerus tumbuh, berkembang dan berterusan sampai maut datang menjelang.

KEKUATAN RASA MALU

Hendaknya kita merangsang ketakwaan kita sehingga kita merasa ‘malu’ untuk melanggar setiap perintah dan larangan Allah samada di khalayak ramai ataupun bersendirian.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (QS Ali Imran : 102)

HADIRKAN SEMANGAT CINTA

Ketakwaan kita akan semakin bermakna apabila yang menjadi pendorongnya adalah ‘cinta’ (mahabbah) kepada Allah.

‘Cinta’ kepada Allah sepenuh jiwa dan hati yang tidak lagi membuatnya berfikir atau merasa rugi dalam melaksanakan perintah dan anjuranNya.

Semangat cinta yang membakar hatinya akan sentiasa menggerakkannya untuk sentiasa :

1. Dekat denganNya.

2. Merapatkan diri kepadaNya.

3. Giat berusaha untuk mencapai ridha dan kasihNya.

4. Meminum melalui cawan rahmatNya.

dalam setiap langkah-langkah hidup dan goresan sejarahnya.

Rasa cintanya yang menggelegak kepada Allah akan sentiasa membuatkan :

a. Hidupnya terasa benar-benar bermakna.

b. Langkahnya penuh pasti menuju Kekasihnya.

c. Cawan cintanya sentiasa dipenuhi dengan air mata takwa, ridha, qana’ah, taubat, syukur, tawakkal dan sabar.

TINGGIKAN RASA HARAP

Bagi para pencinta, yang di’harap’kannya bukan lagi dirinya tapi Zat yang dicintainya dan dia :

1. Larut dalam gelombang kasihNya.

2. Larut dalam rahmatNya.

3. Masuk dalam dakapan ridhaNya.

PUJIAN YANG TIADA BATAS

Akhirnya pujian yang setinggi-tingginya hendaklah diangkat kepada Zat yang memang berhak untuk itu.

Oleh yang demikian, ramuan kefakiran kepada Allah adalah :

Taubat + Ridha + Qana'ah + Takwa + Malu + Cinta + Syukur + Harap + Pujian kepada Allah.

Di mana ianya akan membersihkan dosa kita serta mencairkan kesalahan kita.

Yakinlah bahwa resepi ini, selain mampu menghapuskan dosa kita, ia juga akan menambah kesegaran keimanan kita serta menambah tenaga keislaman kita dan memantapkan akar ihsan kita.

Selamat mencuba dan insyaAllah kita akan merasai khasiatnya dengan hasil jiwa yang segar dan jernih serta dosa yang minima setiap hari.

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami menggunakan ubat dan resepi dariMu yang cukup berkesan untuk menimbulkan rasa fakir dan bergantung kepadaMu, menghapuskan segala dosa-dosa kami, menambah kesegaran keimanan kami serta memantapkan hakikat ihsan kami terhadapMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

No comments:

Post a Comment